Reiki Rawat Emosi

myac-metro-01012015Banyak cara dan alternatif menarik boleh dicuba untuk menyembuhkan semangat dalaman individu yang sering berfikiran negatif.

Ini untuk membangkitkan tenaga dan mengubahnya menjadi pemikiran yang lebih positif asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran agama. Antara rawatan yang sudah mula wujud dan diamalkan sejak era Meiji, Jepun (1868-1912) ialah reiki.

Menurut Pengajar Master Reiki, Mohd Hisham Yahya, reiki berasal daripada bahasa Jepun iaitu rei bererti alam semesta dan ki pula ialah tenaga.


“Reiki adalah satu proses penyaluran tenaga daripada alam semesta melalui pengamal reiki kepada pesakit. Ia bertujuan untuk membantu meningkatkan kemampuan semula jadi tubuh bagi menyembuhkan diri sendiri dengan menyeimbangkan kembali tenaga pesakit berkenaan.

“Teknik berkenaan tidak berkait dengan acara keagamaan. Sebenarnya, ia lebih kepada gaya bertafakur atau dalam bahasa yang mudah, merehatkan minda,” katanya.

Jelasnya, teknik reiki boleh disamakan sebagai seni olah spiritual yang memiliki satu sistem penyembuhan yang sangat sederhana dengan penyaluran tenaga kehidupan atau tenaga alam semesta yang diterapkan dengan asas penyerahan diri (pasrah) pada kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.

Bukan saja memulihkan semangat dalaman, teknik reiki juga boleh digunakan dalam rawatan kecantikan. Menerusi rawatan kecantikan, juruterapi menjadi perantara bagi memindahkan tenaga positif yang diambil daripada alam sekitar untuk disalurkan kepada pesakit.

Justeru, pengunjung yang menjalani rawatan urutan menggunakan teknik itu akan merasai kesan yang lebih baik bukan saja kepada luaran tetapi dalaman.

Urutan menggunakan teknik ini bukan saja memberi kebaikan kepada pesakit atau pengunjung spa, malah ia juga tidak mendatangkan keletihan kepada juruterapi atau tukang urut kerana tidak perlu menggunakan tenaga yang berlebihan ketika mengurut.

Sementara itu, menurut Pengurus Operasi Spa dan Rawatan Aura Crystal, Fazreena Khalid, teknik berkenaan diguna pakai dalam setiap rawatan kecantikan yang dijalankan kepada pengunjung bagi membantu menyedarkan masyarakat mengenai kaedah unik menangani tekanan.

“Uniknya, rawatan di spa ini menggunakan gabungan teknik penyembuhan reiki dan produk berbeza daripada spa biasa. Kaedah rawatan yang ditawarkan itu membantu merawat situasi fizikal, emosi, mental dan spiritual pengunjung untuk menjadi lebih stabil.

“Kestabilan inilah yang diperlukan untuk membantu meningkatkan potensi diri dan tahap keyakinan yang diperlukan bagi menghadapi pelbagai situasi atau kesulitan.

“Kami ingin membantu mereka yang memerlukan bantuan dengan alternatif pemulihan dan kecantikan di samping berkongsi pengalaman serta ilmu pengetahuan yang ada bersama pelanggan,” katanya.

Tambahnya, pengunjung akan menjalani rawatan menggunakan produk aura dan teknik penyembuhan reiki. Perkhidmatan yang ditawarkan terbahagi kepada dua kategori iaitu kaedah terapi biasa dan aura. Teknik rawatan terapi biasa banyak menggunakan produk yang terdapat di pasaran dan kaedah sama di kebanyakan spa.

Rawatan terapi aura menawarkan rawatan sama seperti spa lain untuk menjaga kecantikan kulit wajah dan badan seperti urutan, sauna, mandian, lulur serta pupur.

Bezanya, ia digabungkan dengan penggunaan produk aura yang dibuat khas berasaskan garam untuk membantu mengembalikan tenaga positif dan disempurnakan dengan penyembuhan kaedah reiki.

Antara produk yang digunakan ialah gel mandian yang berasaskan garam Himalaya dan bauan lavender. Ia digunakan untuk membantu menyegarkan badan dan membina semula tenaga positif dalam diri seseorang.

Pada masa sama, ia juga membantu meningkatkan proses penghidratan, melembapkan kulit, membuang kekotoran, toksin dan sel kulit mati serta mengurangkan tekanan.

Selain itu, pengunjung juga dapat merasai kesegaran semburan wajah yang mengandungi khasiat garam bukit, bunga mawar dan air zamzam.

Ia digunakan untuk membantu membersih, mengimbang dan mengecas semula aura yang hilang dalam diri individu. Pada masa sama, harumannya yang menyegarkan juga membantu memberi ketenangan, meningkatkan keyakinan dan semangat positif kepada diri.
My Auracrystal (MyAC) yang ditubuhkan pada tahun 2014 hasil gabungan kepakaran dua pengajar, Master Reiki Fazreena dan Hamdan Zamri bertujuan menawarkan rawatan kesihatan dan spa, produk, kursus dan latihan berkonsepkan aura.

Kaedah yang ditawarkan berteraskan ilmu dan teknik reiki berlandaskan agama serta budaya masyarakat di negara ini bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan, potensi minda, rohani, jasad dan emosi.

Pada masa sama, ia juga membantu membina pemikiran yang positif bagi meningkatkan kualiti kehidupan individu, organisasi dan masyarakat.

Untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.myauracrystal.com.my atau berkunjung terus ke spa berkenaan yang bertempat di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

hajahfarhana@mediaprima.com.my
– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20564#sthash.jEvDHuIy.dpuf

myac-metro-01012015